DARO, 23 OKTOBER 2022 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi melakukan lawatan kerja ke Daerah Daro bagi mendengar taklimat berkenaan perkembangan terkini pelaksanaan projek utiliti di sini, pada Sabtu.
Beliau yang diiringi Timbalannya, Datuk Liwan Lagang hadir di Pejabat Daerah Daro bagi mendengar taklimat berkaitan utiliti@air, elektrik dan telekomunikasi yang disampaikan oleh pihak Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) Bahagian Mukah, Sarawak Energy Berhad (SEB), SMA, SEDC dan MCMC.
Taklimat berkenaan dilaksanakan bagi mengenalpasti serta menambahbaik pelaksanaan projek-projek utiliti dan telekomunikasi di kawasan Daro yang akan memberi manfaat besar kepada rakyat di situ.
Selepas sesi taklimat, Datuk Julaihi beserta rombongan mengadakan lawatan ke tapak Loji Air Daro bagi melihat sendiri tapak tangki air baru yang telah siap dibina serta sistem pap air yang akan digunakan bagi meningkatkan kualiti penyaluran bekalan air yang mencukupi kepada penduduk sekitar.
“Walau bagaimanapun ujian dan kerja-kerja commissioning@test perlu dilaksanakan terlebih dahulu sebelum bekalan air bersih dan terawat yang mencukupi disalurkan kepada pengguna,” jelasnya.
Turut hadir sama ialah, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro; Shafiee Ahmad, Timbalan Residen Mukah; En Safri Saili, Pengarah JBALB; Ir Chang Kuet Shian, Pegawai Daerah Daro; Abdul Rahman Bujang serta pegawai-pegawai dari Bahagian Mukah dan Ketua Kaum tempatan.