SARIKEI, 03 APRIL 2022 (SNN) : Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi bersama rombongan telah melawat ke projek Taman Agro Sungai Baji bagi meninjau keperluan utiliti dan telekomunikasi dalam usaha membangunkan kawasan itu.
Datuk Julaihi menjelaskan, keperluan penyediaan bekalan air pada masa hadapan di taman agro itu dijangka akan dibekalkan oleh sebuah sistem bekalan air melalui Stesen Pam Penggalak Baji.
“Saya telah membawa bersama semua ketua jabatan dari agensi-agensi berkaitan untuk membincangkan cara-cara melaksanakan pelan tindakan kami dari segi utiliti dan telekomunikasi yang diperlukan untuk projek ini.
“Projek yang merangkumi skop pembinaan kawasan takungan (reservoir), saluran paip, serta kerja-kerja mekanikal dan elektrikal ini telah dicadangkan untuk pelaksanaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12,” katanya pada sidang media selepas lawatan tersebut di sini pada Sabtu.
Tambah beliau lagi, untuk menampung pertumbuhan permintaan bekalan elektrik yang lebih tinggi pada masa hadapan, satu tapak bagi pencawang 33kV juga telah diperuntukkan di kawasan berkenaan bagi menyediakan sambungan pada voltan lebih tinggi yang akan didapati melalui sistem grid Sarawak Energy Berhad.
Sementara itu, satu tapak untuk pembinaan menara telekomunikasi juga turut dicadangkan di Taman Agro Sungai Baji itu bagi memastikan keberadaan talian telefon dan juga liputan internet.
“Dengan adanya menara-menara yang berkaitan nanti, pembekal perkhidmatan telekomunikasi seperti Digi, Celcom, serta MySRBN boleh menyediakan perkhidmatan mereka di kawasan ini,’’ tegasnya.
Turut hadir pada lawatan itu ialah Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datu Len Talif Salleh, Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab, Residen Bahagian Sarikei, Felicia Tan Ya Hua, serta ketua-ketua jabatan dari sektor utiliti dan telekomunikasi.-UKAS.