KUCHING, 14 JANUARI 2022 (SNN): Premier Sarawak mencadangkan untuk memperluaskan projek solar di Sarawak sebagai salah satu alternatif sumber tenaga untuk kawasan perumahan dan perkampungan di pedalaman negeri ini.
Menurut Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, rumah yang dipasang solar tidak perlu lagi membayar bil elektrik yang tinggi selain pengguna domestik juga dapat menjual balik tenaga tersebut kepada Sarawak Energy Berhad (SEB).
Ketika berucap pada Majlis Amanat Premier Sarawak pada Khamis, beliau meminta Menteri Utiliti dan Telekomunikasi, Datuk Julaihi Narawi untuk mencari pakar yang boleh melaksanakan projek tersebut.
Katanya, dengan pelaksanaan ini nanti Sarawak Energy Berhad (SEB) akan memiliki sumber tenaga berlebihan yang dapat dimanfaatkan untuk kegunaan industri di Sarawak.
Datuk Julaihi ketika di temui media TVS menjelaskan, pihaknya menyambut baik cadangan Premier Sarawak itu dan dalam masa terdekat ini akan mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan SEB berhubung perkara itu.
Katanya lagi, kementeriannya juga akan berbincang dengan badan perundangan memandangkan pelaksanaan projek solar ini kelak melibatkan ordinan dan undang-undang yang ditetapkan.
“Untuk makluman, Sarawak melalui SEB juga telah meluluskan ladang tenaga solar pertama di negeri ini yang terletak di Batang Ai,” jelas beliau.