KUCHING, 27 NOVEMBER 2023 (SNN): Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak (MUT) bersama agensi di bawahnya sentiasa berusaha untuk melaksanakan inisiatif pendigitalan utiliti bagi meningkatkan kecekapan operasi dan kualiti perkhidmatan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, bagi meningkatkan pengoperasian bekalan air khususnya, pusat kawalan (command center) dan sistem Kawalan Penyeliaan dan Pemerolehan Data (SCADA) telah dibina untuk memantau loji rawatan air dan sistem rangkaian bekalan air secara atas talian.
“Penggunaan ‘Internet of Things’ (IoT) dan teknologi pintar membolehkan agensi bekalan air mengesan air tak terhasil (NRW), tekanan air rendah, gangguan bekalan air dan seterusnya mengambil tindakan awal untuk membaiki keadaan ini,” katanya.
“Sarawak kini sedang membangunkan sistem grid elektrik pintar bagi menambah baik prestasi sistem pengagihan bekalan elektrik. Inisiatif ini juga termasuk automasi sistem pengagihan, infrastruktur pemeteran terkini, pengurusan prestasi aset pintar dan pendigitalan loji-loji penjanaan menerusi pemantauan jarak jauh dan diagnostik.
Beliau berkata demikian dalam ucapan pengulungan kementeriannya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak Ke-19 pada Isnin.
Tambah beliau, usaha ini adalah untuk mencapai matlamat Sarawak menuju ke arah transformasi sistem grid elektrik yang mampan, cekap dan pintar.
Jelas beliau lagi, penggunaan meter air dan meter elektrik pintar pada masa akn datang juga merupakan salah satu strategi pendigitalan utiliti bagi menambah baik kecekapan operasi dan penyampaian perkhidmatan.
“Setakat ini, sebanyak 69,726 meter air pintar dan 64,141 meter elektrik pintar sudah dipasang dan akan diperluas secara berperingkat di seluruh Sarawak,” uajrnya.-UKAS