SIBU, 26 APRIL 2025 (SNN): Projek menaik taraf Loji Rawatan Air Salim di Sibu yang mula dibina sejak 20 Mei 2024 lalu dengan peruntukan penuh oleh Kerajaan Sarawak sebanyak RM291.4 juta mencapai kemajuan yang memuaskan.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi memberitahu, kerja-kerja menaik taraf Loji Rawatan Air Salim tersebut dikendalikan oleh Lembaga Air Sibu dimana keupayaannya akan ditingkatkan daripada 150 Juta Liter Air Sehari (MLD) kepada 300 MLD apabila siap kelak.
Katanya, sehingga kini kemajuan sebenar projek itu telah mencapai 17.96 peratus berbanding 11.51% dari yang dijadualkan dan ini bermakna kerja-kerja pembinaan telah mendahului 6.45%.
“Projek ini adalah sebahagian daripada projek di bawah Pelan Induk Air Sarawak dan Sistem Grid Air Sarawak dan apabila siap sepenuhnya kelak loji ini akan meningkatkan ‘reverse margin’ di Sibu kepada 30 peratus,” katanya selepas mengadakan lawatan kerja di tapak Projek Naiktaraf Loji Rawatan Air Salim, Sibu pada Jumaat.
Tambah Julaihi, Sibu ketika ini bergantung kepada bekalan air dari beberapa loji iaitu Loji Rawatan Air Salim berkapasiti 150MLD dan Loji Rawatan Air Bukit Lima berkapasiti 45 MLD berbanding dengan permintaan adalah 200 MLD.
Walau bagaimanapun, jelas beliau SWB dengan kerjasama Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) menambah bekalan air 4 MLD menggunakan ‘Accute System’ di Sungai Sadit bagi menampung permintaan bekalan air di Sibu.
“Ini bermakna loji-loji air di Sibu kini tidak mempunyai reverse margin langsung. Oleh itu, usaha kerajaan negeri menaik taraf kapasiti loji Salim dilakukan bagi memenuhi permintaan air di Bahagian Sibu dan sekitarnya,” ujar beliau.
Turut hadir sama ialah Setiausaha Tetap Kementerian MUT merangkap Pengerusi SWB; Datu Jafri Lias, Pengurus Besar SWB; Ir Itin@ Abdul Malik Abdullah dan Pengarah JBALB; Ir Awg Fadillah Awg Reduan.