KUCHING, 22 JULAI 2021 (SNN) : Sambutan Hari Sarawak setiap tanggal 22 Julai dalam kalendar Malaysia memberi satu makna yang besar khususnya buat seluruh anak kelahiran Sarawak Bumi Kenyalang yang membawa seribu sejarah dan makna seiring lahirnya Wilayah Sarawak seperti sekarang ini.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi menerusi kenyataan rasmi beliau di laman sosial menjelaskan, Hari Sarawak ini sangat besar maknanya buat semua anak-anak Sarawak kerana pada tarikh hari inilah 58 tahun yang lalu iaitu tahun 1963 Wilayah Sarawak ditadbir sendiri oleh anak Sarawak dan bebas dari pentadbiran British.
Tidak hanya itu, Sarawak juga telah menjadi sebuah Wilayah yang penting dalam sejarah dimana kita telah bersetuju untuk bersama-sama dengan Tanah Melayu (Malaya), Singapura dan Sabah untuk menubuh sebuah negara baru Malaysia pada 16 September 1963 (diikuti Singapura kekuar dari Malaysia pada tahun 1965).
Tambah beliau, apa yang lebih penting adalah kita memperingati tarikh 22 Julai ini untuk kesedaran generasi muda dalam memupuk semangat cinta dan sayang akan Ibu Pertiwi lebih-lebih lagi menjadikan mereka penyumbang terhadap penbangunan Sarawak dalam mencapai Sarawak maju dalam Malaysia menjelang tahun 2030.
Harapan beliau, generasi muda hari ini haruslah belajar dan memahami serta mendalami makna sebenar disebalik tarikh 22 Julai ini dan mengapa ianya disambut dengan penuh makna. Sudah pasti setelah itu mereka akan lebih menghargai dengan sepenuh jiwa pentingnya tarikh ini kemudian hari.