KUCHING, 02 JULAI 2024: Kedudukan Sarawak melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS) adalah jelas sebagai rakan kongsi kepada syarikat minyak dan gas multinasional Malaysia, Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) dalam industri minyak dan gas.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, Sarawak bukan sekadar pemerhati, tetapi terlibat secara aktif dalam industri tersebut walaupun hanya sebagai syarikat minyak negeri.
Tegas beliau, ke arah itu, tidak timbul isu Sarawak cuba memonopoli industri minyak dan gas menerusi PETROS dengan mengambil hak PETRONAS dan tiada istilah ‘abang’ atau ‘adik’ (antara PETROS dan PETRONAS) memandangkan Sarawak telah lama menjadi pemain dalam industri ini sejak 1910.
“Sudah tentu PETRONAS menjadi pemain utama sejak 1974 dengan pengenalan Akta Pembangunan Petroleum (PDA) 1974, tetapi Sarawak sudah lama menjadi pemain industri minyak dan gas sebelum itu, sejak 1910.
“Rakyat Sarawak bekerjasama dengan PETRONAS dan pada masa sama, syarikat Sarawak turut bekerjasama dengan PETRONAS melalui Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC).
“Kerana latar belakang dan pengalaman ini, kita telah menubuhkan PETROS untuk menjadi rakan kongsi kepada PETRONAS dan pada masa sama untuk mencari kaedah bagi mengurangkan kesan perubahan iklim,” katanya ketika berucap di Majlis Penghargaan Kerjasama Vendor Sarawak Dalam Industri Minyak dan Gas 2024, pada Isnin.
Mengulas lanjut, Datuk Patinggi Abang Zohari menekankan bahawa Sarawak tidak melanggar semangat kerjasama dengan PETRONAS seperti beberapa dakwaan yang tidak betul di media sosial berhubung pembabitan Sarawak dalam industri minyak dan gas menerusi PETROS.
Turut hadir sama ialah Timbalan Premier Sarawak; Datuk Amar Profesor Dr. Sim Kui Hian, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Setiausaha Kewangan Sarawak; Dato Sri Dr Wan Lizozman Wan Omar, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak (Perancangan Ekonomi dan Pembangunan); Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Naib Presiden Kanan Malaysia Petroleum Management (MPM); Datuk Ir Bacho Pilong, Ahli Lembaga Pengarah PETRONAS; Dato Ibrahim Baki, Penasihat Kementerian Perdagangan Antarabangsa, Pelaburan Perindustrian Sarawak; Dato Sri Mohd Naroden Majais, Naib Presiden Perolehan Kumpulan PETRONAS; Rashidah Alias, Naib Presiden Pengurusan Sumber Manusia Kumpulan PETRONAS; Ruslan Islahudin serta Naib Presiden Perhubungan Strategik Kumpulan dan Komunikasi PETRONAS; Nooruddin Abdullah.-UKAS