KUCHING, 24 APRIL 2023 (SNN): Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Rajang berpotensi dibangunkan sebagai pusat pembiakan alga bagi menghasilkan biofuel.
Timbalan Menteri Perancang Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh berkata, faktor kawasan tersebut yang terletak di pesisir juga memainkan peranan dalam mempermudahkan pembiakan alga.
“Kajian dalam jurusan ini sedang dijalankan dan ia dapat dikomersialkan pada masa akan datang.
“Kita mempunyai persekitaran yang begitu baik untuk memastikan pengeluaran alga ini dapat dimanfaatkan dari segi ekonomi dan sebagainya,” ujarnya semasa ditemui pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri di kediamannya, di sini pada Ahad.
Selain itu, beliau yang juga ADUN Kuala Rajang berkata, hutan paya bakau yang terdapat di kawasan tersebut juga boleh dimanfaatkan untuk aktiviti perdagangan karbon.
Katanya ia kerana hutan paya bakau mempunyai 10 kali ganda penyimpanan karbon sekiranya dibandingkan dengan hutan yang lain.-UKAS.