SEBUYAU, 18 OGOS 2022 (SNN): Satu tapak berhampiran dengan Kampung Menek Sebangan di sini telah dicadangkan bagi penubuhan sebuah Agro Research Lab di kawasan Sebuyau.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi yang mempengerusikan mesyuarat kedua Jawatankuasa Pemandu Agro Research Lab di Pejabat Daerah Sebuyau pada Rabu menjelaskan perbincangan tapak cadangan yang sesuai untuk membina Agro Research Lab bagi Daerah Sebuyau itu dipersetujui jawatankuasa.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu menambah, penubuhan pusat tersebut bertujuan untuk melaksanakan penyelidikan berkaitan tanaman pokok kelapa.
Sementara itu, Pejabat Residen Bahagian Samarahan dan Agensi Pembangunan Bersepadu Wilayah Samarahan (IRSDA) telah dilantik sebagai urusetia bagi penyelidikan tersebut manakala Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) pula diberi tanggungjawab utama untuk menghidupkan pusat berkenaan.
Selain itu, Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, Universiti Swinburne, Jabatan Pengairan dan Saliran (DID), Jabatan Pertanian dan Jabatan Tanah dan Survei sebagai ahli-ahli jawatankuasa turut akan memainkan peranan penting dalam pelaksanaan projek itu.
Hadir sama dalam mesyuarat ialah Residen Bahagian Samarahan; Brahim Lumpu, Timbalan Naib Canselor UNIMAS; Profesor Datuk Dr. Ahmad Hata Rasit, Pemangku Pegawai Daerah Sebuyau; Jerry Zannuddin Bidin, Tahir Mohd Sharee dari EPU Sarawak, dan wakil-wakil agensi lain yang terlibat.-UKAS.