LIMBANG, 12 JUN 2022 (SNN): Karnival Sukan Saberkas (KASUS) anjuran SABERKAS memberi peluang kepada golongan belia untuk mencungkil bakat mereka dalam arena sukan untuk di bawa ke peringkat yang lebih tinggi.
Timbalan Menteri Permodenan Pertanian dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap Pengerusi SABERKAS Cawangan Bukit Kota, Datuk Dr Abdul Rahman Ismail berkata, program seperti itu banyak manfaat kepada masyarakat setempat selain mengeratkan silaturahim antara mereka dan memupuk semangat kesukanan.
“Kita juga mahu program KASUS seperti ini dimanfaatkan sebaik mungkin untuk memupuk semua lapisan masyarakat mengamalkan gaya hidup sihat dengan bersukan selain memberi peluang kepada golongan belia untuk mengasah bakat mereka dalam acara sukan untuk di bawa ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata sedemikian semasa berucap merasmikan Karnival Sukan SABERKAS (KASUS) 2020 anjuran SABERKAS cawangan Bukit Kota di Stadium Limbang Tertutup, di sini, semalam.
Ujarnya, beliau berharap kerjasama daripada persatuan-persatuan dan kelab sukan yang ada di Limbang ini mampu memupuk lebih ramai belia untuk bergerak secara sihat dengan melibatkan diri dalam bidang kesukanan dan mengelakkan mereka daripada terlibat dengan aktiviti yang tidak sihat.
Turut hadir sama Yaman Yahya; Pegawai Belia dan Sukan Bahagian Limbang, Fakri Asmad; Pegawai Perpaduan Bahagian Limbang, Suhaimi Mohamad; Naib Pengerusi ll SABERKAS Cawangan Bukit Kota, Ronny Jumat; Pengerusi Biro Sukan SABERKAS Cawangan Bukit Kota Limbang dan Abdul Aziz Durahim; Penyelia Stadium Tertutup Limbang.