ASAJAYA, 31 DISEMBER 2022 (SNN): Karnival Islamiah yang dianjurkan oleh Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Asajaya Laut wajar diteruskan dan dicontohi oleh perkampungan lain dalam usaha membantu peniaga kecil menjana pendapatan selain memberi pendedahan ilmu agama kepada masyarakat khususnya generasi muda.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Rubiah Wang berkata, karnival seperti ini sedikit sebanyak memberi impak positif kepada para peniaga kecil dengan menjana pendapatan dengan adanya penganjuran seperti ini dan berharap akan diteruskan dari semasa ke semasa.
Karnival yang berlangsung selama empat hari di perkarangan Masjid Asajaya itu turut mempamerkan keunikannya tersendiri dengan kewujudan gerai-gerai berkanopi berhias selain diisi dengan pelbagai program ilmu serta aktiviti termasuklah pertandingan azan, tilawah Al-Quran, futsal dan sebagainya.
Jelas Rubiah lagi, beliau amat berbesar hati dan gembira dengan segala komitmen daripada warga Kampung Asajaya Laut yang telah bertungkus-lumus menjayakan program tersebut.
Harapan beliau semoga program seperti ini dapat membina dan mengekalkan perpaduan dan keharmonian hidup bermasyarakat selain dicontohi oleh kawasan-kawasan lain.
Turut hadir sama ialah Penghulu Haji Madon Dillah, Penghulu Kampung Asajaya Laut; KK Teruna Mat, Ketua Kaum Asajaya Laut; Pengerusi Masjid Darul Ehsan Kampung Asajaya Laut serta barisan JKKK Asajaya Laut.