KUCHING, 02 DISEMBER 2023 (SNN): Loji Rawatan Air Batu Kitang yang kini mempunyai kapasiti 780 Juta Liter Air Sehari (JLH) akan dinaik taraf seiring dengan peningkatan jumlah permintaan bekalan air terawat di sekitar kawasan Kuching.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi memberitahu, kerajaan negeri ketika ini sedang menaiktaraf Loji No.2 untuk menambah kapasiti sebanyak 104 JLH dengan menjadikan keseluruhan kapasiti loji terbabit meningkat kepada 884 JLH.
“Mengikut kiraan jadual yang ditetapkan kerja-kerja naiktaraf loji terbabit dijangka siap dan dapat menyalurkan bekalan air terawat pada Mac 2024 nanti.
“Proses menaiktaraf ini bertujuan bagi memastikan kawasan yang disalurkan seperti di Petra Jaya, Samariang, Demak Laut, Rambungan, Sampadi, Santubong dan juga Belion (melalui submarine cable) dapat dipenuhi ekoran peningkatan jumlah permintaan bekalan itu,” katanya semasa menghadiri Majlis Apresiasi Lembaga Air Kuching (KWB) di Kuching pada Jumaat.
Menjelas lanjut, Loji No.4 Rawatan Air Batu Kitang juga akan dinaik taraf kepada 100 JLH dan akan mula pada tahun 2026 bagi meningkatkan kapasiti pembekalan air ke kawasan Samarindah, Kampung Tanjung Parang, Kpg Melayu dan sekitarnya.
“Buat masa ini Kerajaan Sarawak telah meluluskan untuk membina dua tangki aras tinggi di kawasan Samarindah bagi menangani kekurangan keperluan air di kawasan berkenaan.
“Dalam pada itu juga, KWB turut prihatin dan cuba untuk menangani isu tekanan air rendah di kawasan Tanjung Parang, Kpg Melayu dan sekitarnya dengan usaha membina paip agihan sedang giat dilakukan,” tambahnya.
Turut hadir sama dalam majlis adalah Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, ADUN Batu Kitang; Dato Lo Khere Chiang, ADUN Kota Sentosa; Wilfred Yap, Pengurus Besar KWB; Pn. Rodziah Mohammad, Timbalan Setiausaha Tteap MUT; Syed Fauzi Sahab, Pengurus Besar SWB; Itin@Abdul Malik Abdullah, CEO LAKU Management; Daniel Puanng dan Pemangku Pengarah JBALB; Ahmad Selihin.