KUCHING, 21 MEI 2022 (SNN) : Seorang kanak-kanak lelaki disambar buaya dalam satu kejadian di Kampung Nyabut, Lorong 2, Telaga Air di sini, pagi tadi.
Memetik laporan Borneo Network, kejadian tersebut dikatakan berlaku sekitar jam 8.30 pagi ketika kanak-kanak lelaki berusia enam tahun terbabit sedang duduk di tebing manakala dua lagi kakak mangsa turut berada tidak jauh dari lokasi dan nenek mangsa yang juga saksi kejadian berada di hadapan halaman rumah.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan sekitar jam 9.30 pagi sebelum mengerahkan pasukan daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya ke lokasi.
“Menurut saksi, kejadian berlaku ketika mangsa bersama kakak dan neneknya sedang melakukan aktiviti mengambil air di sungai itu sebelum mangsa yang sedang duduk ditebing disambar reptilia itu lalu hilang selepas disyaki ditarik ke dalam air,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut PGO, pihaknya turut mengarahkan Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) bersedia bagi menghadapi sebarang kemungkinan.
PGO Sarawak juga sedang berusaha hubungi pihak agensi Sarawak Forestry Corporation (SFC) bagi mendapatkan bantuan Pasukan SWAT SFC, katanya.
Setakat laporan ini ditulis, pasukan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa sedang dilaksanakan serta info lanjut berhubung mangsa akan menyusul kemudian.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padawan, Supt Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika dihubungi turut mengesahkan pihaknya ada menerima laporan.
“Anggota saya sudah berada di lokasi, saya akan berikan perkembangan dari semasa ke semasa,” katanya.