BATU KAWA, 30 NOVEMBER 2021 (SNN) : Seorang kanak-kanak lelaki autisme yang dilaporkan hilang di Kampung Rantau Panjang, Batu Kawah sejak tiga hari yang lalu dijumpai lemas selepas mayat mangsa tersangkut pada pukat nelayan di sini, pagi tadi sekitar jam 7.20 pagi.
Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang, Raffy Saibi, mayat mangsa ditemui tersangkut pada pukat nelayan yang berada di kawasan berdekatan Paragon, Batu Kawa iaitu kira-kira 5 Kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang dan Pos Kawalan Bomba (PKB).
Mengulas lanjut berhubung penemuan mangsa berkenaan, Raffy menjelaskan mangsa Muhd Ramadhan Bin Muhd Ridhwan berusia 8 tahun ditemui dalam keadaan sempurna dan disahkan oleh ibu-bapa mangsa serta setakat ini tiada unsur jenayah dikenalpasti pada tubuh mangsa. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Susulan penemuan mangsa, operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa yang sudah memasuki hari ketiga ditamatkan serta-merta.
Pada Ahad lalu, Muhd Ramadhan yang ketika itu tinggal bersama ibu saudaranya telah dilaporkan hilang dari kediaman selepas ibu-bapa mangsa membuat laporan polis berhubung kejadian dan gerakan mencari mangsa dilakukan dengan bantuan unit anjing pengesan.