SEBUYAU 04 FEBRUARI 2025 (SNN): Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi pada Isnin telah turun padang melihat sendiri keadaan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) sekitar Sebuyau bagi meninjau keadaan mangsa-mangsa banjir serta menyampaikan bantuan kepada mereka yang terjejas.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu memulakan tinjauannya di PPS Dewan Kampung Lutong Sebangan, di mana beliau menyantuni mangsa banjir dan mendengar sendiri keperluan dan keluhan yang dihadapi.
Kemudiannya, beliau meneruskan lawatan ke PPS Dewan Kampung Arus Melayu dan PPS Dewan Kampung Bajong Tengah dan terakhir di PPS Dewan Pembangunan Sebuyau di mana dalam lawatan tersebut beliau menyatakan komitmen kerajaan negeri dalam memastikan bantuan yang mencukupi disalurkan kepada semua mangsa banjir yang terjejas.
“Bagi mangsa banjir yang terputus hubungan sepanjang bencana, beliau memaklumkan pengagihan bantuan yang telah disalurkan oleh Kerajaan kepada mangsa di lima buah kampung yang terlibat setakat semalam adalah berjumlah RM53,800.00.
“Ini membuktikan pihak Kerajaan sentiasa peka terhadap mangsa banjir sekaligus akan memastikan mangsa yang terjejas akan terus mendapat bantuan yang sewajarnya,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, Julaihi turut berpendapat sistem saliran dan pengairan ataupun sistem peparitan di sekitar Daerah Sebuyau perlu dikaji semula agar lebih sistematik dan mampu menampung aliran isipadu air yang keluar mengalir dari kawasan ladang sawit serta perkampungan.
Menurutnya, selain peruntukan daripada kerajaan, pihak ladang sawit swasta yang berkaitan juga perlu bertanggungjawab dari segi kos pembinaan sistem saliran dan pengairan yang lebih berkesan termasuklah bilangan ‘Tidal DID Gate’ yang perlu dibina kelak.
“Saya turut menyarankan agar pihak Kerajaan membuat semakan semula ke atas dasar-dasar dimana keperluan sistem saliran dan pengairan air untuk kawasan ladang sawit wajib diurus dengan sistematik bukan sahaja untuk kawasan sekitar Sebuyau tetapi seluruh Sarawak amnya yang mana airnya mengalir melalui kawasan perkampungan dan rumah panjang,” tegas beliau.
Turut hadir bersama beliau ialah Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang, Pengarah JBALB Sarawak; Ir. Awang Mohamad Fadilah Awang Redzuan, Ketua Polis Daerah Simunjan DSP; Rafhan Kepli, wakil Pegawai JKM Samarahan; Roggi William Ak Usi dan pegawai-pegawai agensi-agensi penyelamat serta sukarelawan yang terlibat.