KUCHING, 19 JUN 2024: Pelarasan gaji baharu bagi penjawat awam negeri akan diumumkan selepas pembentangan belanjawan negara pada hujung tahun nanti.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, ini kerana kajian pelarasan gaji terbabit telahpun lengkap namun kita hanya perlu tunggu pelaksanaannya serta perincian pelarasan gaji baharu dari Kerajaan Pusat.
“Pelarasan gaji penjawat awam negeri itu perlu selaras dengan apa yang diumumkan oleh Kerajaan Pusat,” katanya kepada media UKAS selepas menghadiri Majlis Ibadah Qurban Jabatan Premier Sarawak di Wisma Sabati, Jalan Bako, di sini, hari ini.
Selain itu, Abang Johari berkata Kerajaan Sarawak juga sedang melakukan kajian menyeluruh mengenai industri perlombongan untuk mengenal pasti potensi mineral yang terdapat di negeri ini.
Jelasnya, kajian itu perlu dilakukan kerana Sarawak berpotensi untuk mengeluarkan grafit, mineral yang sangat penting dalam penghasilan sel bahan api yang digunakan dalam industri hidrogen.-UKAS