KUCHING, 28 JUN 2023 (SNN): Perjalanan untuk menjadi seorang pemimpin bukanlah suatu yang mudah lebih-lebih lagi mengetuai kumpulan dengan negara-negara asing di barisan hadapan dalam teknologi baharu.
Tetapi walau sesukar mana pun, hal itu adalah tidak mustahil untuk seseorang itu cemerlang dan jurutera kelahiran Malaysia, Umar Zakir Abdul Hamid berjaya membuktikannya.
Memetik laporan Malaymail, Umar, yang kini berpangkalan di Sweden, telah berada dalam industri mobiliti masa depan selama sedekad sekarang dan telah mengusahakan lebih 30 projek yang melibatkan teknologi tanpa pemandu, robotik, perisian automotif dan sistem digital untuk kenderaan elektrik.
Sumbangannya kepada syarikat permulaan pemanduan autonomi Finland, Sensible 4, di mana beliau yang merupakan sebahagian daripada pasukan berjaya mengumpulkan lebih €15 juta (RM76 juta) dalam satu pelaburan dan hasil untuk syarikat itu.
Dengan lebih 30 kertas saintifik yang diterbitkan sambil mengambil bahagian secara aktif dalam usaha penyeragaman automotif global, Umar dikenali sebagai peneraju pemikiran dalam industri berkenaan.
Hasil usaha beliau itu, baru-baru ini Yayasan Persatuan Jurutera Automotif (SAE) menganugerahkan Umar Anugerah Kepimpinan Industri Muda Denso yang berlangsung di Muzium Henry Ford di Michigan, AS.
SAE International merupakan persatuan profesional dan organisasi pembangunan standard untuk industri kejuruteraan, dengan tumpuan khusus pada sektor pengangkutan seperti automotif, aeroangkasa dan kenderaan komersial.
Anugerah Kepimpinan Muda SAE bertujuan untuk mempromosikan kerjaya dalam komuniti kejuruteraan dengan memberi penerangan kepada mereka yang mempunyai pengalaman kurang daripada 12 tahun dalam industri kejuruteraan yang telah menunjukkan pencapaian kerjaya yang memberansangkan.
“Segala puji bagiNya. Saya terkejut. Anugerah ini seperti Grammy dunia kejuruteraan. Saya tidak menjangka ia sebesar ini.
“Saya secara teknikalnya duduk semeja dengan Ketua Pegawai Eksekutif Ford Motor Company, Jim Farley, yang turut dianugerahkan Anugerah Kepimpinan Industri Yayasan SAE pada majlis itu,” kata Umar kepada pemberita.
Umar yang merupakan Alumni Universiti Teknologi Malaysia yang kini merupakan pakar strategi utama di China Euro Vehicle Technology AB (CEVT AB) turut mengakui terharu mendapat pengiktirafan terutamanya sebagai warga Asia Tenggara yang boleh dianggap minoriti dalam kepimpinan industri.
“Ini suatu yang sangat menarik bagi saya kerana menjadi orang Asia Tenggara yang bekerja di pasaran Eropah di bawah syarikat China dan ini memberikan konteks global yang mendalam kepada saya sebagai seorang jurutera.
“Mereka benar-benar melihat kami suatu yang bernilai dan berasa gembira dihargai serta ramai mengiktiraf bakat kami dalam industri.
“Pencapaian seperti ini tidak datang begitu mudah dan biarkan ini menjadi bukti kepada orang lain bahawa orang seperti kami, golongan minoriti, juga boleh berjaya dalam industri ini,” katanya lagi.
Umar juga mengakui bahawa berada dalam industri besar ini mempunyai cabaran tersendiri kerana dia perlu berani melalui sikap berat sebelah dan prasangka terhadapnya.
Tambahnya, selain daripada berusaha untuk berkembang dan proaktif dalam perjalanan kerjayanya, cabaran ini juga memainkan peranan dalam mendorongnya untuk melangkah lebih jauh.
“Kita perlu faham bahawa, jika seseorang tidak dapat mengenali bakat kita, mungkin ada 20 lagi di luar sana yang akan mengenali bakat kita.
“Jadi apabila ia berkaitan dengan prasangka, penting untuk diingat bahawa andaian ini tidak mengukur kebolehan kita.
“Itulah sebabnya saya sentiasa percaya pada meritokrasi dan kita perlu mempunyai sebanyak mungkin merit itu. Itulah satu-satunya cara anda boleh memecahkan tembok prasangka ini,” jelas Umar.