KUCHING, 18 NOVEMBER 2024 (SNN): Pelantikan Petroleum Sarawak Berhad (PETROS), syarikat milik Kerajaan Sarawak sebagai gas aggregator tunggal di negeri ini adalah muktamad dan non-negotiable.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (MUT), Dato Sri Julaihi Narawi menegaskan sambil sekali lagi menjelaskan tidak ada gas aggregator lain di Sarawak selain PETROS.
Katanya, PETROS yang dilantik sebagai gas aggregator tunggal berkuatkuasa 1 Februari 2024 akan berperanan dalam menjalankan aktiviti berkaitan perolehan, pembekalan, pengedaran dan penjualan gas asli di Sarawak.
“Gas aggregator juga bertanggungjawab membuat perancangan, pembangunan, operasi dan penyelenggaraan sistem rangkaian pengedaran gas asli di Sarawak.
“Di sini, saya maklumkan perkembangan terkini di mana PETROS dan PETRONAS sedang dalam perbincangan khususnya mengenai aspek teknikal.
“Saya turut mengingatkan mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti pengedaran gas perlu memohon lesen di bawah Seksyen 7, Distribution of Gas Ordinance, 2016 (DGO 2016),” katanya ketika menggulung perbahasan bagi kementeriannya pada Persidangan DUN Sarawak Kali-19, di sini.
Katanya lagi, setakat hari ini, MUT telah mengeluarkan lesen ‘Retail of Gas’ kepada 13 pemain gas huluan dan 10 lesen kepada pemain gas hiliran.
“Kegagalan mematuhi keperluan pelesenan ini adalah satu kesalahan di bawah Seksyen 20 Ordinan tersebut yang boleh dikenakan denda dan hukuman penjara dan kedua-duanya sekali,” ujarnya lagi.
Dato Sri Julaihi sekali lagi turut menegaskan sudah tiba masanya untuk Sarawak memanfaatkan sendiri sumber gas aslinya untuk memajukan negeri ini.
Dalam perkembangan sama, Julaihi memberitahu, PETROSNiaga iaitu sebuah syarikat tempatan yang dimiliki oleh PETROS dengan pegangan saham sebanyak 51 peratus dan PETRONAS Dagangan Berhad (49 peratus) kini berjaya menjalankan tanggungjawabnya sebagai pengedar tunggal Gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi di Sarawak.
Menurutnya, bagi memastikan pemantauan yang menyeluruh terhadap segala aktiviti melibatkan silinder LPG bersubsidi ini, kementeriannya telah bekerjasama secara aktif dengan pelbagai agensi termasuk Unit Keselamatan dan Penguatkuasaan Sarawak (UKPS), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pihak Berkuasa Tempatan, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kastam serta agensi-agensi lain yang berkaitan.
“Proses penukaran silinder LPG kuning kepada silinder LPG PETROS secara ‘one-to-one’ tanpa sebarang caj tambahan juga masih diteruskan dan sehingga Oktober 2024 ini sahaja, PETROSNiaga telah berjaya menukar sebanyak 690,000 unit silinder LPG kuning kepada silinder LPG PETROS.
“Kini terdapat kira-kira 1.8 juta silinder LPG bersubsidi PETROS di pasaran di seluruh Sarawak,” tambahnya.
Ujar beliau, melalui segala usaha dilakukan oleh Sarawak ini agar dapat menjadikan pemimpin Malaysia untuk membuka mata dan minda untuk melihat perspektif pembangunan negara yang lebih menyeluruh dan tidak terikat dengan perspektif pembangunan di sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur sahaja, jangan terlalu bersifat ‘centralist’.