KUCHING, 18 JUN 2022 (SNN): Ulang Tahun ke-100 Sarawak Energy Berhad (SEB) terus dimeriahkan lagi menerusi pameran di Muzium Budaya Borneo (BCM) Kuching yang bertemakan 100 Years of Powering Sarawak yang dibuka khas kepada orang ramai sehingga 15 Julai 2022.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi berkata, pameran tersebut dilakukan bagi mendedahkan perjalanan dan inisiatif elektrifikasi Sarawak pada masa lalu, kini dan masa hadapan kepada orang ramai untuk menjana tenaga yang lebih mampan serta boleh diperbaharui.
“Sarawak Energy telah berkembang seiring dengan kemajuan negeri Sarawak sejak berabad dan ianya dapat dilihat menerusi pameran ini bahkan secara tidak langsung menyaksikan perjalanan Sarawak ke arah negeri maju secara keseluruhannya.
“Oleh itu, saya berharap SEB benar-benar mampu menjadi sebuah syarikat antrabangsa dengan menjadi sumber kuasa utama di rantau ASEAN dan seterusnya apabila menyambut ulang tahun ke-200 kelak,” katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Pameran 100 Tahun SEB di Muzium Budaya Borneo pada Khamis.
Dalam pada itu, Pengerusi Sarawak Energy yang diwakili Datuk Amar Abdul Hamed Sepawi berkata, pameran tersebut bukan sahaja memberi pendedahan kepada orang awam berkaitan pencapaian SEB sejak 100 tahun yang lalu malah memberi penghormatan kepada visi kerajaan mentransformasikan perkhidmatan, warga kerja SEB dan pengurusan ke arah pendigitalan.
“Pencapaian yang dicapai oleh SEB pada hari ini adalah hasil sokongan dan hala tuju strategik Kerajaan Sarawak khususnya Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi dengan banyak kejayaan korporat utama hasil daripada Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak yang dilancarkan sejak tahun 2008,” ujarnya.
Jelasnya, dengan kebenaran yang diberikan oleh Jabatan Muzium Sarawak, pameran ini turut dapat mengetengahkan perkongsian budaya dengan komuniti tenaga hidro seperti pameran Tikar Tenunan Terpanjang di Dunia yang direkodkan oleh Guinness World Record yang dihasilkan oleh Orang Ulu dengan kerjasama komuniti pemaju tenaga pada masa kini.
Turut hadir sama Timbalan Menteri Utiliti; Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Telekomunikasi; Datuk Liwan Lagang, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar; Dr Hazland Abang Hipni, Pengarah Jabatan Muzium Sarawak; Tazudin Mohtar.