SEBUYAU, 10 SEPTEMBER 2023 (SNN): Golongan belia di Kampung Masjid Sebuyau kini mempunyai fasiliti sukan baharu dengan siapnya pembinaan gelanggang silat di kampung tersebut.
Menurut Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak merangkap ADUN Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi, penyediaan fasiliti sukan itu adalah sebagai usaha kerajaan Sarawak untuk memberi manfaat kepada semua terutama golongan belia.
Dalam lawatan berkenaan, beliau menambah akan meluluskan peruntukan tambahan untuk tujuan baik pulih atap dan pembinaan jalan ke gelanggang.
“InsyaAllah saya membantu dari segi keperluan untuk operasi dan aktiviti-aktiviti persatuan silat bagi memberi galakan serta aktiviti riadah untuk golongan belia di kawasan Sebuyau.
“Dengan lengkapnya kemudahan yang ada kelak harapan saya persatuan silat di Sebuyau ini terus mencipta kejayaan samada di peringkat Sarawak atau antarabangsa,” jelas ketika ditemui semasa mengadakan lawatan ke tapak projek tersebut pada Sabtu.
Sejurus selesai, Datuk Julaihi turut berkesempatan melawat tapak gelanggang memanah Kampung Sawmill Sebuyau yang mana tapak lapang sasarnya turut diluluskan di bawah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP).
Difahamkan, beliau turut bersetuju untuk menambah baik keadaan fasiliti lapang sasar memanah tersebut supaya sukan memanah ini akan terus menarik minat para belia di kawasan Sebuyau yang memungkinkan akan melahirkan pelapis sukan memanah untuk Sarawak dan Malaysia.
Turut hadir ialah Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bujang, Penghulu Masyarakat Melayu Kawasan Sebuyau; Abu Seman Suhaili, Jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) Bahagian Kota Samarahan; Helen Choo dan Pengurus Persatuan Silat Helang Putih Perkasa Sebuyau; Zakaria Taha dan Pengurus Persatuan Sukan Memanah; Ustaz Wan Yunus Wan Sait.