KUCHING, 20 DISEMBER 2023: Jubli Emas Warisan Sarawak, 1973-2023; Pertembungan, Isu dan Terowong Masa- Memperkasa Bahtera Wadah
Catatan Selepas Dua Pekan, Mengingati Tahun 1111M
19 Disember tarikh umat Islam ditinggalkan seorang tokoh besar selama 912 tahun lamanya. Dari detik itu hingga kini daging dan tulang umat Islam lebih murah daripada tulang biasa. Demikianlah hinanya umat. Mungkin namanya masa kini tidak sepopular Cold Play; akan tetapi Abu Hamid Muhammad Al-Ghazali Al-tusi pemikir besar yang merekonstruksikan ummah.
Dan sembilan hari yang lepas, detik penting Hamas ditubuhkan sejak 36 tahun yang lalu tanggal 10 Disember. Moga Allah kurniakan keselamatan, rahmah dan kesejahteraan buat semua mujahid Islam. Dan meyakini bahawa keperitan itu akan bertandang ke nusa kita, dan kita teguh bersedia.
Perang Bukan Pilihan, Menikmati Kekalahan Atau Menginsafi Kemenangan
Semua indikator, dapatan dan isu dikumpulkan dengan melihat sudut yang inklusif.
Bukan sahaja isu Palestin bahkan isu hentakan ekonomi di seluruh dunia. Dan ini bukan masa kita saling menuduh. Meskipun politik tetap politik. Cabaran tidak akan menunggu, sama ada kita bersedia atau tidak.
Pada Ekor Disember Yang Menginsafkan di Saragua Selatan
Hari kelima dalam bulan akhir tahun 2023 telah berlangsung Perhimpunan Tri-Tahunan SABERKAS Negeri Sarawak ke-17 yang bersejarah dan terbesar dengan penyertaan 78 cawangan seluruh tanah tulin serta kuripan Sarawak. Utara, Tengah dan Selatan berambeh di Negeri Darul Hana atau Saragua Selatan. Seramai 453 orang perwakilan dan pemerhati hadir menyantuni acara ini.
Pelbagai kejutan; dan elemen yang dramatis berlangsung sejak acara Jamuan Makan Malam. Isu pencalonan golongan muda dijelaskan oleh Dato Sri Presiden dengan metodologi implimentasi formula hybrid yang telah diguna pakai sejak 1973. Satu hikmah dan konsensus yang menjadi ramuan kesepaduan. Tiada persoalan.
Selain ramuan meraikan kepelbagaian etnisiti, keharmonian komposisi, penggemblengan pengalaman anggota lama dan baharu; semua pihak perlulah melihat kewajaran lanskap belia dan politik semasa.
Beberapa nama besar telah melakukan tindakan berjiwa besar dengan memberi ruang kepada kelompok muda memimpin dan menimba selembar dua lembar pengalaman.
Meskipun, sebahagian rakyat Sarawak beranggapan bahawa perhimpunan ini sekadar serangkai kisah di warung kopi; inilah legasi belia yang menjadi wadah lain untuk kerukunan dan keharmonian warga belia yang penuh energi.
Malah, inilah wajah kepada citrawarna masyarakat Sarawak. Natijah kesepaduan rentas budaya dalam formula Simposium Budaya Sarawak yang telah diadakan sejak 1988. Pasca keruntuhan politik yang menggegarkan Malaya dan Borneo. Namun, formulanya ampuh melalui kesediaan pimpinan melepaskan ego masing-masing. Warisan sesepuh yang cukup keramat dan sakti. Alhamdulillah.
SABERKAS Pasti Gemilang
Untuk kita merintis cabaran baharu mengemudi arena sosial pemerkasaan belia. Mengikis segala kesangsian dan unsur-unsur negatif yang boleh menggugat bahtera kita.
Selepas badai menerjah, kita santai.
Tunggu teduh dulu.
“SABERKAS, Berbakti”.
Nukilan; Yusuf Jalli