MIRI, 23 MEI 2021 (SNN) : Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Miri pada Sabtu telah melancarkan misi penyerahan bantuan makanan segera kepada penduduk yang terjejas akibat banjir di kawasan Daerah Kecil Mulu.
Dalam misi berkenaan, pesawat khas ‘Twin Otter’ MasWing telah digunakan dan tiba di Lapangan Terbang Mulu pada jam 2.45 petang bagi menghantar makanan memandangkan keadaan Sungai Tutoh dan Melinau masih lagi deras dan merbahaya untuk dilalui.
Sejurus tiba dilokasi, bantuan makanan dihantar ke Kampung Long Iman dengan menggunakan bot yang turut dipantau sepenuhnya dan dibantu oleh Pasukan Bomba Bantuan MOCSAR Mulu.
Pada kejadian hujan lebat sejak Khamis lalu, Kampung Long Iman antara yang terjejas teruk disusuli dengan banjir manakala kampung-kampung lain turut terjejas iaitu Kampung Melinau, Kampung Batu Bungan dan Kampung Long Terawan.
Turut hadir sama dalam misi penyerahan bantuan adalah Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mulu Dato Gerawat Gala.-SUMBER UKAS.