RAJANG, 15 APRIL 2023 (SNN): Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah Dan Alam Sekitar Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang Datuk Len Talif Salleh meneruskan Program Jelajah Ramadan ADUN Kuala Rajang dengan berbuka puasa bersama warga Kampung Rajang.
Majlis yang diadakan pada Jumaat di Masjid Darul Ibadah Rajang itu menyaksikan seramai 330 asnaf telah menerima duit raya berjumlah keseluruhan RM66,000 yang diserahkan kepada Ketua Kaum Kampung Rajang sejurus selepas solat Maghrib berjemaah.
Terdahulu selepas solat Jumaat di Masjid Al-Firdaus di Tanjung Manis, Datuk Len menyerahkan sumbangan daripada Lembaga Amanah Kebajikan Islam Kuala Rajang (LAKIKR) dan Pusat Khidmat N.41 Kuala Rajang berjumlah RM4,000 kepada Jawatankuasa Pengurusan Masjid Al Firdaus Tanjung Manis dan 49 asnaf Kampung Bukit Kinyau berjumlah RM2,450 yang diserahkan kepada Ketua Kampung Bukit Kinyau Albahari Juki.
Hadir sama pada majlis ialah Pemangku Pegawai Daerah Tanjung Manis Ismail Kasah, Ketua-ketua Masyarakat dan penduduk setempat.-UKAS.