SADONG JAYA, 07 MAC 2021 (SNN) : Orang awam khususnya masyarakat di kawasan Sadong Jaya disarankan agar mendaftarkan diri bagi mendapatkan vaksin Covid-19 supaya dapat melindungi diri dan keluarga daripada jangkitan wabak covid-19.
Menteri Pelancongan Seni dan Budaya merangkap Ahli Parlimen (AP) Batang Sadong berkata, program imunisasi vaksin Covid-19 yang dilakukan di seluruh dunia termasuk Malaysia amat penting kepada rakyat bagi melindungi diri daripada terkena jangkitan wabak berkenaan.
“Saya menasihatkan agar orang ramai khususnya di kawasan Sadong Jaya jangan mudah percaya terhadap apa-apa pandangan negatif tentang vaksin tersebut dari pihak yang tidak bertanggungjawab sepertimana yang tukar di laman sosial ketika ini mengenai kesan sampingan yang tidak baik sehingga memburukkan tahap kesihatan.
“Oleh itu, saya menyeru agar mereka lebih ramai yang akan tampil untuk mendapatkan vaksin berkenaan dan program imunisasi ini akan diberikan kepada rakyat secara percuma mengikut jadual yang akan ditetapkan bagi kawasan masing-masing,” katanya selepas hadir menerima suntikan vaksin Covid-19 bersama ADUN Sadong Jaya, Aidel Lariwoo di Klinik Kesihatan Sadong Jaya pada Sabtu.
Dalam masa itu, Aidel turut menyarankan agar orang awam boleh mendaftaran diri mereka untuk mendapatkan vaksin dengan menggunakan aplikasi MySejahtera kerana ia adalah langkah penting bagi memerangi serta memutuskan rantaian Covid-19 supaya dapat kembali ke kehidupan normal.