KUCHING, 23 NOVEMBER 2021 (SNN) : Pembinaan Jambatan Sungai Sarawak di kawasan Sejingkat yang menghubungkan samarahan-Demak Laut dan Second Kuching–Samarahan Trunk Road merupakan salah satu projek berimpak tinggi yang dibiayai sepenuhnya Kerajaan Sarawak di bawah Projek Rangkaian Jalan Pesisir Sarawak dengan kos sebanyak RM11 juta bakal membuka lebih banyak sektor ekonomi selain mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di Samarahan Expressway.
Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg semasa berucap merasmikan pembinaan jambatan di Perkarangan Tapak Projek Jambatan Sejingkat, di sini pada Ahad berkata, jambatan tersebut merupakan laluan alternatif yang akan memudahkan pengguna jalan raya Kuching-Samarahan bagi mengatasi masalah kesesakan jalan raya yang sering berlaku ketika waktu puncak.
“Samarahan yang kini dilihat semakin membangun dengan institusinya dan juga orang banyak bekerja di kawasan Samarahan menjadikan jalan raya di situ selalu sesak terutama pada sebelah pagi dan petang.
“Setelah berbincang dan mengira bajet, maka saya laksanakan pembinaan jambatan ini yang menuju ke Samarahan dari Samarahan menuju ke Sebuyau. Di Sebuyau pula kita bina jambatan Batang Lupar sampailah ke Sibu,” katanya ketika berucap di Majlis Pecah Tanah Jambatan Sungai Sarawak, Sejingkat dan Second Kuching-Samarahan Trunk Road.
Sementara itu, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, dengan pelaksanaan projek ini juga, akan memberi akses serta membuka ruang yang lebih banyak dalam sektor sosioekonomi pada masa akan datang terutama dalam sektor pertanian, perikanan dan industri asas tani.
“Jadi semuanya penting sebagai penggalak kepada industri yang bakal berkembang di bahagian Samarahan dan bahagian Kuching dalam masa yang terdekat. Pembangunan sistem infrastruktur yang mampan akan mendorong pembukaan lebih banyak kawasan dan tanah-tanah terbiar terutama di kawasan pesisir untuk merangsangkan aktiviti ekonomi.
“Selain itu, pembinaan jalan raya sepanjang 7.56 Kilometer termasuk menaiktaraf jalan Kampung Tanjung Bako yang sedia ada dan dilaksanakan oleh syarikat Hock Seng Lee Sdn dijangka siap dalam tempoh 24 bulan juga akan memberi keselesaan kepada pengguna jalan raya berkenaan apabila siap kelak,” katanya.
Jelas beliau, bagi pihak Kementerian Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak (MPID) dan agensi Jabatan Kerja Raya (JKR), beliau ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Menteri dan kerajaan GPS Sarawak kerana merealisasikan pembinaan jambatan tersebut yang telah lama ditunggu-tunggu oleh rakyat Sarawak.
Turut hadir Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak; Dato’ Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Utiliti Sarawak; Dato’ Sri Dr. Stephen Rundi Utom; Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak dan Menteri Belia & Sukan Sarawak; Dato’ Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan dif-dif kehormat yang lain.