SEBUYAU, 23 MAC 2021 (SNN) : Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Jambatan Batang Lupar yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada hari ini menjadi simbolik rasmi kerja-kerja pembinaan yang sedang rancak dijalankan di tapak projek jambatan berkenaan selepas pelaksanaannya sejak awal Februari 2021 lalu.
Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi berkata, Majlis Pecah Tanah Jambatan Batang Lupar pada hari ini merupakan siri ke-8 disempurnakan oleh Ketua Menteri sejak tahun 20219 melibatkan lapan tapak projek jambatan merentasi sungai jalan pesisir di seluruh Sarawak.
“Jambatan yang dibina mempunyai panjang 4.8 Kilometer itu kelak akan menjadi jambatan terpanjang merentasi sungai di Sarawak malah di Malaysia dan boleh dikatakan ‘King of the Brigdes’ di Sarawak yang mempunyai reka bentuk unik serta berpotensi menjadi daya tarikan kepada pelancong dari dalam dan luar Sarawak.
“Dan sudah pastinya selepas siap pembinaan jambatan ini kelak akan memangkin kepada pembangunan yang rancak di kawasan Samarahan dan Betong khususnya di kawasan Sebuyau dan sekitarnya. Ini kerana jambatan ini akan menghubungkan dua bahagian yang terpisah oleh Sungai Batang Lupar dan ini akan membolehkan kerajaan negeri dapat membuat perancangan untuk membangunkan kawasan-kawasan pesisir khususnya di Sebuyau yang berpotensi untuk dimajukan lagi,” kata beliau dalam ucapan pada Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Batang Lupar yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Sarawak, di sini, hari ini.
Datuk Julaihi yang juga selaku pengerusi pengelola jawatankuasa majlis meminta kerajaan negeri mempertimbangkan untuk menjadikan Daerah Kecil Sebuyau sebagai Daerah penuh di suatu masa akan datang. Naiktaraf status daerah Sebuyau adalah sangat penting bagi menarik lebih banyak lagi pembangunan di kawasan berkenaan. Secara tidak langsung itu akan meningkatkan taraf sosioekonomi penduduk di kawasan Sebuyau khasnya.
“Daerah Kecil Sebuyau mempunyai keluasan 625.07 KM persegi dengan 63 buah kampung dan rumah panjang, 19 buah sekolah rendah dan sebuah sekolah menengah yang dihuni kira-kira 20,000 penduduk. Dan harapan saya bersama penduduk warga Sebuyau adalah agar kerajaan negeri mempertimbangkan cadangan ini supaya pembangunan di Sebuyau lebih rancak lagi di masa akan datang,” tegasnya.
Ujar beliau, setelah projek jalan pesisir ini siap kelak diharapkan agar kerajaan negeri dapat menubuhkan Agensi Pembangunan Pesisir yang diketuai sendiri oleh Ketua Menteri Sarawak. Agensi ini akan memainkan peranan yang cukup besar bagi kawasan pesisir di seluruh negeri Sarawak khususnya merancang pembangunan bagi kawasan pesisir yang mempunyai potensi dengan adanya jalan pesisir yang menjadi laluan kedua utama selepas Lebuhraya PanBorneo siap kelak.