KUCHING, 30 DISEMBER 2021 (SNN) : Kejadian jalan susur di jajaran Lebuhraya Pan Borneo dari Betong-Sri Aman/Lachau-Serian yang tular di media sosial sejak semalam tidak melibatkan laluan pengguna yang sedia ada sebaliknya bahagian yang sedang dalam proses pembinaan.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya telah mengambil maklum berhubung kejadian dan tindakan pantas telah diambil dimana kerja-kerja pembaikkan jalan susur tersebut telah segera dilakukan oleh pihak kontraktor yang bertanggungjawab dan siap pada hari yang sama.
Untuk makluman juga JKR menegaskan kejadian jalan susur tersebut berlaku pada 28 Disember 2021, Selasa sekitar jam 9 pagi di CH34+800 di jajaran Sri Aman menuju ke Lachau di bawah Pakej Kontrak Kerja 04 (WPC04) Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bukannya pada 29 Disember seperti yang disebarkan oleh sesetengah pihak di laman media sosial.
Sebagai langkah keselamatan, pihak kontraktor juga telah meletakkan penghadang untuk menutup laluan tersebut bagi mengelakkan orang awam memasuki laluan tersebut yang masih lagi dalam pembinaan dan belum lagi dibuka kepada orang awam.
Selain itu, sebuah jentera pengorek (excavator) telah ditempatkan di lokasi kejadian bagi persediaan kerja-kerja pembaikkan jalan sekiranya berlaku rekahan lanjut lebih-lebih lagi pada musim hujan yang sedang berlaku di Sarawak.
Pihak kontraktor juga turut dinasihatkan untuk memantau lokasi kejadian dari semasa ke semasa. Sementara itu orang awam juga dinasihatkan untuk memandu secara berhati-hati ketika memandu melalui kawasan berkenaan dan sentiasa fokus kepada pemanduan masing-masing.