LAWAS, 16 MAC 2021 (SNN) : Jabatan Vateriner Sarawak (JVS) Daerah Lawas melancarkan Kempen Kesedaran dan Survelan Wabak Demam Babi (African Swine Fever) ke atas lapan buah kampung atas faktor pencegahan penularan ekoran wabak berkenaan sudah merebak ke kawasan Pitas, Sabah.
Kesemua kampung yang terlibat adalah berdekatan dengan Sindumin, Sabah dan oleh itu JVS Sarawak melakukan langkah proaktif agar wabak itu tidak menular ke kawasan Sarawak. Pasukan Perkhidmatan JVS dengan pantas mengadakan lawatan bersemuka keatas semua penternak babi pada 8 hingga 13 Mac lepas bagi memastikan tiada jangkitan berlaku serta maklumkan dengan awal sekiranya sebarang kemungkinan terjadi keatas ternakan mereka.
Dalam masa yang sama, bertindak atas faktor untuk menghalang kemasukan wabak berkenaan ke sempadan Sarawak, Kementerian Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah mengarahkan agar kesemua pintu sempadan yang berdekatan dengan Sabah iaitu CIQS Merapok dan pintu masuk laluan lain dikawal ketat oleh agensi dan jabatan yang berkaitan.
Langkah itu diambil kira bagi memastikan sebarang kemasukan khinzir hidup mahupun produk-produk berkaitan khinzir tidak terlepas masuk ke sempadan Sarawak kerana pengesanan keatas pembawa wabak ini adalah agak sukar dan langkah terbaik adalah dengan menyekat kemasukan sebarang kemungkinan apa-apa sumber yang boleh menyebabkan virus berkenaan merebak masuk.
Pasukan JVS Daerah Lawas turut dibantu oleh Pasukan JVS dari Ibu Pejabat Kuching bagi menjalankan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan di setiap daerah dan kampung bagi mereka yang menternak khinzir secara kecil-kecilan.-SUMBER UKAS.