LAWAS, 17 NOVEMBER 2022 (SNN): Seorang pekerja warganegara Indonesia disahkan maut manakala dua lagi cedera dalam satu insiden letupan paip gas Sabah-Sarawak Gas Pipline (SSGP) di Long Ugui, di sini, pada Rabu.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada jam 2.49 petang sebelum menggerakkan sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas ke lokasi.
“Semasa tiba di lokasi, pasukan yang diketuai oleh Komander Operasi, PPgB Azman Ibrahim dan 17 anggota yang lain mengesahkan benar telah berlaku letupan dan kebakaran gas pipeline (SSGP) di KP 131.7, kawasan Berikau, Ba’kelalan.
“Komander Operasi melakukan size up dengan mengaplikasikan konsep RECEO, didapati terdapat seorang mangsa lelaki rentung di hadapan excavator manakala dua lagi cedera,” katanya dalam satu kenyataan.
Tambahnya, mangsa yang maut itu dikenali sebagai Hadi Wiyono dan dua lagi mangsa yang cedera dikenali sebagai Hendrick dan Gabriel Meripa yang telah dikejarkan ke Hospital Lawas untuk rawatan lanjut.
“Kerja-kerja pemadaman menggunakan dua unit alat pemadam api ke atas jengkaut yang terbakar dilakukan berikutan kerana tiada sumber air terbuka dilokasi kejadian sebelum mengeluarkan mayat mangsa yang rentung,” jelasnya.
Setakat ini, punca kejadian masih lagi dalam siasatan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Lawas, DSP Sila Kadong mengesahkan menerima laporan berhubung kes berkenaan.