GEDONG, 20 SEPTEMBER 2022 (SNN): Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) yang mula diperkenalkan sejak tahun 2018 telah berjaya membaik pulih rumah rakyat untuk mendapatkan tempat perlindungan yang selesa dan selamat.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia merangkap Ahli Parlimen Batang Sadong, Dato Sri Nancy Shukri yang turun padang melawat ke beberapa rumah yang sedang dibaikpulih di bawah Program Penambahbaikan Rumah Miskin Sarawak (PPRMS) di sekitar Zon Gedong pada Ahad berkata, ia merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Sarawak dalam memastikan rakyat setempat mendapat kualiti kehidupan yang lebih baik.
Difahamkan, lawatan tersebut bertujuan meninjau keadaan semasa projek di mana tiga buah rumah yang dilawati melibatkan Kampung Kanchong Baru, Kampung Segera Jaya dan Kampung Tengah Hulu Gedong.
Program Ziarah Kamek itu bermula sejak tahun 2016, melibatkan kerjasama pasukan kerja Pusat Khidmat Batang Sadong serta tiga Adun dalam kawasan Parlimen berkenaan.
Dalam pada itu, Nancy berharap bantuan baikpulih rumah PPRMS ini diharap sedikit sebanyak dapat membantu penduduk kurang berkemampuan untuk memiliki rumah yang sempurna.
Sementara itu, pelaksanaan kerja-kerja baikpulih rumah itu juga adalah dilaksanakan secara gotong-royong oleh ahli jawatankuasa kampung masing-masing dimana ia menelan kos sekitar RM5,000 hingga RM10,000 berdasarkan keperluan setiap projek.
Hadir sama ialah Setiausaha Politik Kepada Dato Sri Nancy; Mohammad Kamaluddin Mohammad Effendie, Naib Ketua PBB Cawangan DUN Gedong; Ali Bujang, Ketua Pemuda PBB Cawangan DUN Gedong; Maharthir Oyak dan Ketua Pergerakan Wani PBB Cawangan DUN Gedong; Hasanah Majais.-UKAS.