KUCHING, 11 MEI 2021 (SNN) : Ikatan Graduan Melayu Sarawak dan PMM setiap tahun aktif menghulurkan bantuan berupa barangan keperluan harian kepada golongan asnaf di negeri ini yang mana merupakan program tahunan setiap kali tiba bulan Ramadhan dan menjelang hari raya Aidilfitri.
Pada Isnin yang lalu, program sumbangan yang diketuai oleh Biro Sosial dan Kebajikan IGMS, Hajah Dayang Sa’adiah Binti Awang Hipni itu telah menyerahkan sumbangan kepada 30 golongan asnaf yang terdiri daripada penduduk Kampung Empila, Kota Samarahan sebagai persedian untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri yang akan menjelma tidak lama lagi.
Penyerahan sumbangan dilakukan di perkarangan masjid baharu Kampung Empila dan diserahkan kepada Ketua Kaum Kampung Empila iaitu Haji Bojeng bin Ajid sebelum diagihkan kepada asnaf yang memerlukan.
Di Majlis yang lain, program Infaq Ramadhan yang dijalankan pada setiap tahun oleh PMM dan Bernas pada minggu lepas telah berjaya menyerahkan sumbangan sebanyak 260 beg beras 10kg lepada 13 buah kampung dan 50 bes beras 5kg kepada dua buah kampung.
Sumbangan ini adalah hasil daripada infaq ahli-ahli PMM dan Bernas dan Yang DiPertua PMM, Hj Radzali Bin Hj Alision dalam masa yang sama menzahirkan ucapan terima kasih kepada yang bersedekah serta mendoakan mereka sentiasa dilimpahkan rezeki oleh Allah SWT.
Jelasnya, kedua-dua program berkenaan dilaksanakan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi memastikan tidak berlaku sebarang kemungkinan penularan wabak Covid-19 yang kini dilihat semakin membimbangkan.