KUCHING, 07 JULAI 2023 (SNN): Idea untuk menjadikan bangunan Astana Negeri Sarawak sebagai muzium adalah idea yang hebat namun harus ditampilkan lain daripada muzium-muzium yang sedia ada di negeri ini kata Pakar Sejarah Datu Dr Hj Sanib Said.
Menurut beliau dipetik dari laporan akhbar Suara Sarawak, tidak menjadi masalah jika Astana berkenaan dijadikan sebuah muzium kerana Astana sendiri sudah dianggap sebuah muzium dengan seni bina bangunannya yang unik, taman serta jeti secara literal diklasifikasikan sebagai antik dan warisan lama.
“Astana sendiri sudah dianggap sebagai muzium hidup di masa lalu dan ianya tidak perlu lagi diubah suai seperti muzium kebiasaannya kita lihat sekarang.
“Jadi tidak perlu lagi kita meletakkan artifak-artifak lama seperti muzium lain cukup jadikan ia seperti Chateau de Versailles di Perancis yang dulunya menjadi tempat tinggal para raja Perancis,” katanya seperti dipetik dari Suara Sarawak.
Baru-baru ini, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dilaporkan berkata Kerajaan Sarawak berhasrat membina Astana Negeri yang baharu bagi menggantikan bangunan sedia ada yang sudah berusia ratusan tahun.
Katanya, sekiranya usaha ini dilaksanakan maka Astana sedia ada akan dijadikan muzium dan kita dapat mempamerkan artifak-artifak yang berkaitan dengan gabenor di dalamnya.
“Saya tahu bahawa mereka banyak menyimpan hadiah ayng diberikan ketika dilantik sebagai Yang di-Pertua Negeri, oleh itu hadiah terbabit boleh disimpan di galeri Astana untuk dipamerkan kepada pengunjung,” katanya.
Untuk rekod, Astana Negeri kini menjadi kediaman rasmi Yang di-Pertua Negeri yang merupakan bangunan dibina oleh Rajah Putih Kedua, Charles Brooke pada 1870 dan ia adalah tapak kediaman rasmi James Brooke sejak diangkat sebagai pemerintah Sarawak pada 1841.