KOTA SAMARAHAN, 31 OGOS 2023 (SNN): Ibu-bapa disaran agar memberi sokongan dan dorongan kepada anak-anak mereka yang mempunyai minat dalam bidang sains dan teknologi yang akan menjadi pelapis pakar sains dan teknologi negara pada masa akan datang.
Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merangkap Ahli Parlimen Kota Samarahan, Datuk Hajah Rubiah Wang berkata, tatkala anak-anak cilik dalam fasa meneroka perkara baharu, ibu-bapa amat digalakkan untuk menanam minat anak-anak mereka terhadap kepelbagaian ilmu sains dan menjadikan aliran sains sebagai pilihan pada masa akan datang.
“Dalam ucapan saya tadi, saya begitu teruja melihat anak-anak cilik melaungkan hasrat ‘Kamek maok jadi angkasawan’ apabila disoal cita-cita mereka sambil menyiapkan roket mereka.
“Ini merupakan satu petanda yang positif dan harus mendapat dokongan daripada ibu-bapa lebih-lebih lagi pada seusia mereka amat penting didedahkan dengan pelbagai ilmu sains dan teknologi,” katanya ketika berucap merasmikan Program Minggu Sains Negara Peringkat Negeri Sarawak di D’Virtual Park, Kota Samarahan pada Rabu.
Beliau menambah, Datuk Rubiah turut percaya dengan kerjasama Samarahan Digital Hub di kawasan Parlimennya akan menjangkakan Kota Samarahan mampu menjadi hub dalam mengaplikasikan teknologi dan inovasi secara bersasar seterusnya inklusif.
Beliau turut menjangkakan satu sinergi anak tempatan dan kumpulan strategik akan menggerakkan gerakan ekonomi digital khususnya kerjasama Kementerian beliau sebagai Timbalan Menteri Malaysia dan sudah tentu menyokong penuh Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2030 (DSTIN).
“Saya percaya usaha untuk melahirkan modal insan yang mahir dalam ilmu sains dan teknologi dapat dicapai sekaligus membentuk anak bangsa yang berjaya,” ujar beliau.