KUCHING, 05 OKTOBER 2023 (SNN): Jajan atau makanan ringan adalah sangat tidak asing lagi di kalangan kita lebih-lebih lagi setiap daripada kita sejak zaman kanak-kanak pasti suka mengunyah jajan dan tidak terkecuali apabila meningkat dewasa lebih-lebih lagi waktu melakukan aktiviti seperti menonton televisyen, bersantai ataupun di pejabat.
Namun, kini sudah seharusnya kita perlu mengurangkan atau menghentikan budaya memakan jajan terutama dalam kalangan kana-kanak yang mana boleh mengganggu proses tumberasan mereka.
Lebih merisaukan lagi apabila mereka ini mula memasuki alam persekolahan ibu-bapa tidak lagi dapat menjadi ‘gatekeeper’ yang menentukan apa yang dimasukkan ke dalam mulut anak-anak.
Terutamanya, sekarang ini terlalu banyak peniaga atau penjual tepi jalan menjual makanan ringan, makanan proses dan manisan yang boleh menngundang penyakit ataupun obesiti pada usia muda jika dikonsumsi berterusan.
Seperti dilihat di kebanyakan luar kawasan sekolah-sekolah kanak-kanak atau pelajar ini tertarik dengan pelbagai minuman manis serta makanan ringan yang dibungkus bewarna-warni.
Sebagai contohnya, makanan ringan seperti keropok, snek, gula-gula, coklat, gula getah, air sirap, minuman coklat, teh yang ditambah dengan pemanis tambahan dan pastinya semua ini adalah bukan kategori ‘real food’.
Mengetahui betapa seriusnya masalah ini jika tidak terus dibendung Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Malaysia (KPKT) mengambil langkah untuk tidak membenarkan mana-mana peniaga untuk berniaga di luar kawasan pagar sekolah.
Langkah ini dibuat supaya para pelajar yang pulang atau hadir ke sekolah tidak membeli makanan yang tidak sihat sehingga boleh mengganggu kesihatan mereka kelak.
Garis panduan tersebut juga telah dilaksanakan sejak tahun 2021 lagi namun sejauh mana keberkesanan terhadap pelaksanaan larangan ini oleh pihak berwajib kerana sehingga hari ini kita masih melihat ramai peniaga masih menjual makanan yang dikategorikan tidak selamat untuk pelajar di kebanyakan luar kawasan sekolah.
Tidak terkecuali juga pengusaha kantin supaya tidak menjual apa-apa makanan proses ataupun jajan kepada para pelajar demi melahirkan budaya sihat dalam kalangan pelajar khususnya dan amnya di persekitaran sekolah.
Oleh itu, penulis berharap pihak berwajib untuk lebih tegas dan kerap melakukan pemantauan agar isu menjual makanan yang tidak sihat kepada para pelajar sekolah ini dapat diatasi.
Kita juga mahu anak-anak membesar dengan sihat terutama bersama-sama mencegah risiko obesiti muda dalam kalangan kanak-kanak yang pasti akan memberi kesan buruk apabila meningkat dewasa kelak.