KUCHING, 05 DISEMBER 2021 (SNN) : Penduduk cemas bertempiaran lari menyelamatkan diri dan sekurang-kurangnya 13 maut akibat melecur manakala 98 lagi cedera apabila Gunung Semeru di daerah Lumajang, Jawa Timur memuntahkan lahar pada Sabtu sekitar jam 6.00 petang waktu tempatan.
Jurucakap Badan Pengurusan Bencana Nasional (BNPB) Indonesia Abdul Muhari berkata mereka yang cedera termasuk dua wanita hamil dan kini menerima rawatan di hospital. Setakat hari ini, operasi mencari dan menyelamat masih berterusan untuk memindahkan penduduk yang terperangkap
“BNPB juga bekerjasama dengan pasukan tentera untuk memindahkan penduduk melalui jalan darat dan helikopter turut digunakan bagi mempercepat lagi operasi itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Gunung Semeru yang memiliki ketinggian 3,676 meter itu memuntahkan abu sehingga mencecah setinggi 12,000 meter pada 3.20 petang semalam waktu Indonesia. Lahar daripada letusan gunung berapi itu juga turut memusnahkan kediaman berhampiran, menyebabkan 902 penduduk di daerah itu terpaksa dipindahkan ke pusat perlindungan sementara di kampung Supiturang dan Curah Kobokan.
Kali terakhir Gunung Semeru memuntahkan lahar adalah pada 27 Ogos lalu dengan ketinggian abu sejauh 1 Kilometer dan ia merupakan salah satu dari beratus gunung berapi di seluruh Indonesia yang sangat aktif.-BERNAMA.