BETONG, 14 OGOS 2022 (SNN): Sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak pada tahun ini menyaksikan Bahagian Betong menjadi tuan rumah penganjuran hari bermakna itu.
Menteri bertanggungjawab sambutan perayaan ini, Datuk Julaihi Narawi memberitahu, sambutan yang bertemakan ‘Keluarga Malaysia Teguh Bersama’ ini akan diadakan di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, Betong pada 31 Ogos depan.
“Sambutan pada tahun ini akan dimulakan dengan melibatkan aktiviti kayuhan basikal iaitu ‘Unity Ride’ yang bakal disertai oleh dif-dif jemputan kenamaan, ketua jabatan serta masyarakat setempat di Betong.
“Kita menjangkakan ‘flag off’ kayuhan ini akan bermula pada jam 8 pagi di Kompleks Sukan Betong dan akan tamat di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kaliong Ningkan iaitu sebelum bermulanya program rasmi jam 10 pagi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas mesyuarat jawatankuasa induk sambutan Perayaan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sarawak 2022 pada Khamis.
Selain itu, Datuk Julaihi yang merupakan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak memaklumkan, ambang merdeka juga akan diadakan pada malam 30 Ogos untuk memeriahkan lagi suasana bandar berkenaan sempena dengan sambutan Hari Kebangsaan.
Beliau memberitahu lagi, sambutan ini akan dihadiri oleh Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud serta isteri Toh Puan Datuk Patinggi Raghad Kurdi Taib dan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg serta isteri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku.
Ujar beliau, sambutan perayaan Hari Kebangsaan ini bagi menyemarakkan rasa cinta masyarakat Malaysia kepada tanah air mereka.
“Ia juga bagi menghargai keprihatinan, kesungguhan dan ketabahan warga Malaysia dalam mengharungi cabaran dan dugaan khususnya cabaran menghadapi covid-19 sejak dua tahun lebih yang lepas,” katanya.
Hadir sama Timbalan Menteri Pemodenan Pertanian Dan Pembangunan Wilayah Sarawak II; Martin Ben, Residen Bahagian Betong; Richard Michael Abunawas, Ketua Bahagian Unit Protokol, Istiadat dan Pengurusan Acara Negeri; Hamdan Sharbini dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Seni Sarawak; Dayang Mariana Abang Bolhassan.-UKAS.