KUALA LUMPUR, 14 MEI 2021 (SNN) : Susulan tular isu pelaporan berita serangan Israel kepada Palestin dengan menggelarkan pasukan Hamas sebagai ‘Militan’ Kementerian Komunikasi dan Multimedia memanggil Ketua Editor Berita Mandarin, TV2, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) bagi meminta penjelasan lanjut mengenai isu terbabit.
Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dalam satu kenyataan berkata, siasatan dan tindakan segera diambil sejurus menerima laporan mengenai laporan berita stesen TV terbabit didapati menggunakan istilah yang tidak tepat bagi merujuk kepada kumpulan pejuang Hamas yang membela rakyat Palestin.
“Editor Meja Mandarin dan Ketua Editor Berita Mandarin yang terlibat kita sudah panggil bagi memberi penjelasan lebih lanjut dan laporan lengkap mengenainya. Pegawai yang terlibat turut diminta untuk kemukakan Surat Tunjuk Sebab (STS) dan siasatan lanjut masih dijalankan oleh pihak pengurusan.
“Susulan itu, pihak penyiaran tampil memohon maaf dalam siaran berita dan pembetulan juga telah disiarkan melalui Berita Tengah Hari pada pukul 1 dan pukul 7 malam pada hari yang sama iaitu 12 Mei 2021,” katanya dalam satu kenyataan media rasmi Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.
Saifuddin menambah, Seksyen Berita Hal Ehwal Semasa digesa untuk menambahbaik Prosedur Operasi Standard (SOP) tugasan Bilik Berita khususnya dalam penyuntingan berita TV sebelum disiarkan agar tidak berlaku kesilapan serupa di masa akan datang.
Jelasnya, pihak RTM peka mengenai isu yang sedang berlaku diantara Palestin dan Israel dan sentiasa menyokong teguh pendirian Malaysia dan aspirasi rakyat yang mendukung kedaulatan serta kebebasan Palestin.-SUMBER SINAR HARIAN