28 JANUARI 2021 (SNN) : Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak (KWKPK), Datuk Seri Fatimah Abdullah bersama pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat Sarawak (JKMS) menyantuni gelandangan di sekitar bandar Kuching di sini semalam.
Menurutnya, JKMS akan terus memberi perhatian dan perkhidmatan yang sewajarnya kepada golongan gelandangan di Sarawak ini dan akan diberi hak pelindungan yang sewajarnya.
“Seperti gelandangan yang ada di Sibu, mereka disediakan tempat tinggal yang dinamakan sebagai Tempat Tinggal Transit Gelandangan (TTG) iaitu rumah rehat kaki tangan kerajaan.
“rumah transit ini boleh digunakan oleh golongan mereka terutama lagi sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Sibu ekoran penularan wabak Covid-19 yang membimbangkan di kawasan itu dan ini turut menjejaskan ruang serta pergerakan mereka,” katanya dalam sidang media sebelum memulakan operasi tinjauan gelandangan.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dalat berkata, usaha menyantuni ini dijalankan bagi melihat keadaan sebenar gelandangan di beberapa kawasan panas bagi mengenal pasti komuniti ini untuk diselamatkan.
Ujar beliau, tinjauan ini berbeza dengan apa yang dilakukan oleh JKMS sebelum ini yang mana mereka bertindak menyelamatkan mereka dan dibawa ke tempat perlindungan sementara yang dikenali sebagai Anjung Singgah, Kuching.