KUCHING, 12 JULAI 2023 (SNN): Faktor kemiskinan dalam kalangan pelajar di negara ini menjadi salah satu punca berlakunya keciciran terutama di sekolah menengah, kata Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Lim Hui Ying.
Memetik laporan beliau yang diterbitkan Sinar Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mendapati bahawa terdapat pelajar yang tidak hadir ke sekolah kerana bekerja demi menanggung ekonomi dan kos sara hidup keluarga mereka.
Katanya, hal ini merupakan satu masalah sosial yang harus ditangani dan cari jalan penyelesaian bagaimana untuk membantu mereka keluar dari kemelut kemiskinan dan keciciran itu.
“Kerajaan melalui KPM ketika ini telah menetapkan semua pelajar wajib menghabiskan 11 tahun persekolahan iaitu bermula dari Tahun Satu hingga Tingkatan Lima bagi mengelakkan berlakunya keciciran.
“Berhubung dengan inisiatif KPM untuk membantu pelajar tercicir akibat kemiskinan, kita telah memperluaskan pelaksanaan Sekolah Komprehensif 9 (K9) daripada 12 buah sekolah sedia ada kepada 17 sekolah,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi soal jawab di Parlimen.
Tambah Lim, matlamat utama K9 diperkenalkan adalah bagi menangani isu keciciran di kawasan pedalaman, terutamanya melibatkan murid yang sukar untuk meneruskan pendidikan ke peringkat menengah atas faktor lokasi ke sekolah yang jauh, dan sosioekonomi keluarga.
Selain itu, Lim berkata, KPM juga menyediakan sebanyak 18 jenis bantuan persekolahan untuk murid daripada keluarga berpendapatan rendah atau miskin antaranya Biasiswa Kecil Persekutuan, Rancangan Makanan Tambahan, Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin, Bantuan Awal Persekolahan, dan Bantuan Pakaian Seragam Badan Beruniform.
“Pelbagai bantuan seperti pinjaman buku teks serta khidmat guru bimbingan dan kaunseling dan guru pemulihan turut disediakan bagi menyokong minat murid untuk meneruskan persekolahan,” uajrnya.