More
    Home Malaysia Empangan Batang Ai akan menjadi empangan pertama di Malaysia mampu hasilkan tenaga...

    Empangan Batang Ai akan menjadi empangan pertama di Malaysia mampu hasilkan tenaga hidro dan panel solar-Premier

    SRI AMAN, 21 JUN 2024 : Projek solar terapung di Empangan Batang Ai yang sedang dibangunkan oleh Sarawak Energy dengan kerjasama daripada syarikat Trinasolar, China dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2024.

    Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari Tun Datuk Abang Openg berkata, dengan siapnya projek itu kelak, Empangan Hidroelektrik Batang Ai akan menjadi kawasan pertama di Malaysia yang akan menjana dua tenaga elektrik menerusi penjanaan kuasa hidro dan panel solar.

    Katanya, setakat ini projek yang menjana tenaga hijau itu telah mencapai kira-kira 35 peratus dan apabila siap sepenuhnya kelak ianya dijangka mampu mengeluarkan kuasa 50 megawatt (MW). Sekarang Empangan Hidroelektrik Batang Ai menjana tenaga sehingga 108 MW.

    “Ini bermakna, apabila projek solar terapung Batang Ai ini siap, Empangan Hidroelektrik Batang Ai Batang Ai akan mengeluarkan tenaga 158 MW hidro dan solar dan menjadi kawasan yang pertama di Malaysia yang mengeluarkan hidro dan juga solar,” katanya semasa sidang media selepas lawatan kerjanya ke tapak projek solar terapung Batang Ai pada Khamis.

    YAB Premier serta dif kenamaan lain ketika membuat tinjauan di tapak projek tenaga solar terapung di Empangan Batang Ai, Lubok Antu pada Khamis

    Premier Sarawak menambah, beliau juga telah berkongsi idea dan pandangan dengan Sarawak Energy untuk membuat perancangan bagi meningkatkan pelaburan syarikat asing di Empangan Hidroelektrik Batang Ai.

    Jelas beliau, Kerajaan Sarawak juga sudah mengemas kini Ordinan Elektrik bagi tujuan memajukan dasar-dasar kerajaan negeri mengenai peralihan tenaga kepada tenaga boleh diperbaharui bersih.

    “Kita sudah meminda undang-undang yang membolehkan pihak swasta melabur dalam penjanaan kuasa. Maknanya sudah ada ruang untuk pelabur melabur di kawasan Batang Ai dan menambah kapasiti pengeluaran tenaga hingga lebih 2,000 MW.

    “Jadi ini sudah tentu dapat membolehkan Sarawak mempunyai tenaga hijau lebih kurang 2,500 Megawat dari Empangan Hidroelektrik Batang Ai sahaja,” tambahnya.

    Dalam pada itu, Premier Sarawak turut memberitahu, kerajaan negeri juga akan mengenalpasti kawasan di Bakun dan Murum untuk pembangunan projek sama kerana terdapat pelabur asing yang berminat untuk membuat pelaburan di kawasan tersebut.

    Terdahulu, beliau telah berkesempatan melawat tapak projek solar terapung Batang Ai untuk menyaksikan sendiri pemasangan ‘floater’ dan panel solar yang merupakan salah satu projek seliaan Sarawak Energy.

    Turut hadir sama, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak; Dato Sri Julaihi Narawi, Pemangku Setiausaha Kerajaan Sarawak; Datu Dr. Muhammad Abdullah Zaidel, Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti); Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi, Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak; Datuk Dr Hazland Abang Hipni, Timbalan Menteri Pembangunan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak; Datuk Malcolm Mussen Lamoh, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB; Datuk Sharbini Suhaili dan Ahli Parlimen Lubok Antu; Roy Angau Gingkoi.-UKAS

    Leave A Reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here

    Must Read

    SDEC perkenal MySRBN Home Package dengan kadar bulanan yang lebih murah...

    0
    KUCHING, 01 JULAI 2024 (SNN): Dalam usaha memastikan setiap rakyat menikmati jaringan telekomunikasi yang lebih baik Kerajaan Sarawak melalui Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi serta...