SEBUYAU, 09 JULAI 2023 (SNN): Ekspo Pendidikan Sarawak anjuran Yayasan Sarawak dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Sarawak yang diadakan serentak di seluruh negeri beri pendedahan kepada pelajar sekolah program yang ditawarkan universiti tempatan milik Kerajaan Sarawak untuk melanjutkan pelajaran.
Pelancaran Ekspo Pendidikan kali ini yang bertempat di seluruh daerah disempurnakan oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Kompleks Yayasan Sarawak, Kuching.
Dalam pada itu, Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dalam hantaran beliau di Facebook miliknya turut berkongsi sekitar penganjuran program berkenaan peringkat Daerah Sebuyau yang mana dihadiri ratusan pelajar termasuk ibu-bapa, ketua masyarakat dan kaum sebagai tanda menyokong usaha kerajaan menitikberatkan pendidikan anak-anak.
Menurut beliau lagi, ekspo kali ini memberi pendedahan kepada pelajar di kawasan luar bandar tentang beberapa universiti milik Kerajaan Sarawak yang menawarkan beberapa program yang mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan selain mendapat pinjaman pendidikan dari Yayasan Sarawak.
Selain itu, Julaihi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau itu juga turut menyampaikan hadah galakan cemerlang SPM 2022 anjuran Yayasan Sarawak kepada dua pelajar SMK Sebuyau iaitu adik Amelia Lin Binti Ahmad Amir dan Fasiha Binti Mohammad Hajidal.
“Semoga dengan hadiah galakan dan pencapaian yang diperoleh kedua pelajar ini dapat menjadi contoh buat pelajar lain dalam memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM tahun mendatang supaya Sebuyau ini mampu melahirkan lebih ramai pelajar yang berjaya dan menyumbang kepada negeri Sarawak,” ujarnya.
Turut hadir sama mengiringi adalah wakil Pengarah Yayasan Sarawak; Samsudin Sham Abdullah, Pegawai Pendidikan Daerah Simunjan; Hasbie Hj Ancheh dan Pegawai Daerah Sebuyau; Ayuradiman Bin Bujang.