MALUDAM, 15 SEPTEMBER 2023 (SNN): Dua remaja disahkan maut selepas terlibat dalam satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan lori di Kampung Maludam, Pusa di sini, semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Penyelamat Sarawak dalam satu kenyataan memberitahu, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian sekitar jam 8.10 malam sebelum mengarahkan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Saratok ke lokasi.
Sejurus tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba bertindak mengeluarkan seorang mangsa yang masih tersepit di bawah lori yang dikenali sebagai Peng Billy, 27, dan disahkan maut oleh pegawai perubatan yang turut berada dilokasi.
Manakala seorang lagi mangsa bernama Syahzuwan Abdul Rasid, 18, yang cedera parah di kepala pula disahkan meninggal dunia ketika sedang menerima rawatan kecemasan di Klinik Kesihatan Maludam.
Walau bagaimanapun, pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan dan kedua-dua mayat mangsa nahas diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.