BINTULU, 13 JULAI 2021 (SNN) : Dua maut manakala dua lagi cedera dalam satu kemalangan melibatkan kereta Suzuki Swift bertembung dengan Pikup Mitsubishi Triton di Kilometer 114 Jalan Tubau-Bakun, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu dalam satu kenyataan berkata, kejadian yang berlaku pada jam 10.15 pagi itu, kereta Suzuki Swift yang datang dari arah Tubau hendak ke Sungai Asap telah hilang kawalan akibat jalan licin lalu masuk ke lorong bertentangan sebelum bertembung dengan sebuah pikup.
“Pemandu kereta terbabit yang berusia 26 tahun bekerja sebagai Jurutera NPL Sdn Bhd dan penumpang, Nurdi, 32, warganegara Indonesia yang bekerja sebagai pekerja am syarikat berkenaan disahkan maut ditempat kejadian.
“Pemandu pikup, 34 tahun, mengalami kecederaan hampir putus jari tengah dan penumpang patah tangan kanan manakala dua lagi penumpang di belakang tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Alexson menambah, hasil siasatan awal mendapati kejadian terbabit berlaku akibat kecuaian pemandu kereta Suzuki Swift kerana ketika itu sedang hujan lebat ditambah dengan jalan raya yang licin.
Mangsa yang maut dan cedera dihantar ke Hospital Bintulu untuk tindakan selanjutnya. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.