SEBUYAU, 24 MAC 2021 (SNN) : Terdapat dua lagi telaga minyak dan gas telah ditemui di perairan kawasan Miri, Sarawak oleh syarikat Petoriam Nasional Bhd (PETRONAS) kata Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Beliau menjelaskan bahawa pihak Petronas memaklumkan perkara tersebut semasa membuat kunjungan hormat pada Isnin lalu. Pada 25 Februari yang lalu, wakil Petronas telah mengumumkan penemuan gas dari telaga eksplorasi Dokong-1 dalam kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Blok SK417 yang terletak kira-kira 90 kilometer dari perairan cetek Baram, Miri.
“Selain penemuan di dua lokasi Wilayah Luconia Tengah dan Delta Baram itu, besar kemungkinan kita akan menemui dua lagi kawasan baru telaga minyak dan gas. Oleh itu, berdasarkan Perjanjian Penyelesaian Komersial (CSA), kita akan mengembangkan kawasan tersebut serta melaksanakan bahagian kita melalui Petroleum Sarawak Berhad (PETROS).
“Dan apa yang kita lakukan ini adalah berdasarkan hak kita yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963,” kata beliau semasa dalam sidang media selepas Majlis Pecah Tanah Projek Jambatan Batang Lupar di Sebuyau semalam.
Ujarnya, syarikat Petronas akan mengeluarkan kenyataan sendiri mengenai perincian penemuan kawasan minya dan gas baharu tersebut. Ini merupakan penemuan kedua di luar pantai Sarawak selepas penemuan gas dari telaga Lang Lebah-2 yang terletak di Wilayah Luconia Tengah pada 10 Februari yang lalu iaitu kira-kira 80 kilometer dari pesisir pantai.
Turut hadir sama dalam sesi sidang media adalah Timbalan Ketua Menteri; Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing, Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan; Datuk Julaihi Narawi dan tetatu kehormat yang lain.-Sumber Utusan Borneo.