KUCHING, 10 OKTOBER 2023 (SNN): Kerajaan Sarawak mengumumkan akan meneruskan inisiatif pemberian diskaun bil elektrik yang memanfaatkan lebih 700,000 pengguna di seluruh Sarawak sehingga penghujung Disember 2023 ini.
Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Datuk Julaihi Narawi dalam kenyataan beliau memberitahu, jumlah keseluruhan diskaun dari 1 Julai hingga 31 Disember 2023 dijangka sebanyak RM203.7 juta manakala diskaun yang akan diteruskan ini dianggarkan sebanyak RM123 juta untuk pengguna domestik dan RM80.7 juta untuk peniaga kecil yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan Sarawak.
“Inisiatif diskaun bil elektrik bulanan sehingga 25 peratus bagi pengguna domestik, 15 peratus bagi peniaga kecil komesial dan 10 peratus bagi peniaga kecil industri. Bagi pengguna domestik, diskaun penggunaan elektrik Julai hingga Oktober 2023 akan dimasukkan dalam bil Disember 2023.
“Bagi penggunaan elektrik pada November dan Disember 2023 pula diskaun akan dimasukkan masing-masing dalam bil November dan Disember 2023 dan Januari 2024,”katanya dalam sidang media Diskaun Bil Elektrik Bantuan Khas Sarawakku Sayang di Menara LCDA pada Isnin.
Tambah beliau lagi, peniaga kecil seperti bengkel, kopitiam, rumah kedai, restoran dan gerai penjaja pula boleh memohon diskaun bil bulanan mereka dengan mengemukakan permohonan kepada Sarawak Energy sehingga 31 Disember 2023.
“Kelayakan diskaun adalah bergantung kepada penggunaan elektrik tidak melebihi 30,000 kWj untuk tempoh dari 1 Julai hingga 31 Disember 2023 dan terhad kepada pengguna kategori tarif C1 (perniagaan komersial biasa) dan I1 (industri biasa).
“Maksudnya 5,000kWj sebulan secara purata. Had adalah 30,000 kWj untuk jangka masa enam bulan,” jelasnya.
Turut hadir sama Setiausaha Tetap Kementerian Utiliti & Telekomunikasi (MUT); Jafri Lias, CEO SESCO; Lau Kim Swee, Pengarah EPU; Lester Mathew, GM Retail SEB; Puan Ng Shou Fui dan Pegawai Kanan Pejabat Kewangan Sarawak; Puan Nor Rashidah Abdullah.