SEBUYAU, 31 DISEMBER 2021 (SNN) : Selepas memegang portfolio sebagai Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan pada kabinet kerajan negeri yang lepas, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sebuyau, Datuk Julaihi Narawi pada semalam telah dilantik sebagai menteri penuh yang memegang portfolio sebagai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak bagi tahun 2022.
Menerusi kenyataan beliau di akaun rasmi miliknya, Datuk Julaihi menzahirkan jutaan terima kasih kepada Ketua Menteri YAB Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg di atas kepercayaan beliau dengan melantik sebagai Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak yang baharu.
“Lantikan ini merupakan amanah dan tanggungjawab yang saya perlu dipikul bersama-sama dengan rakan-rakan di kementerian kami dan kesemua kakitangan jabatan serta agensi berkaitan dalam merealisasikan capaian bekalan air, elektrik dan jaringan telekomunikasi di seluruh Sarawak menjelang tahun 2030.
“Dengan pengalaman selama 10 tahun sepanjang berkhidmat dalam barisan kabinet kerajaan negeri Sarawak, saya komited untuk bersama-sama YAB Ketua Menteri dan seluruh ahli kabinet yang lain untuk membangunkan Sarawak kearah negeri maju,” kata beliau.
Dalam pada masa yang sama, Datuk Julaihi turut menyatakan terima kasih kepada rakan-rakan serta pengundi di seluruh Sarawak khasnya pengundi di DUN Sebuyau atas sokongan dan kepercayaan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus membawa kemajuan kepada negeri Sarawak bagi tempoh lima tahun lagi.