MATU, 21 DISEMBER 2024: Pendidikan agama yang kukuh merupakan faktor penting dalam pembentukan sahsiah generasi muda agar memiliki akhlak mulia dan tidak mudah terpengaruh dengan perbuatan mendatangkan kerosakan diri dan agama selain mempunyai ilmu pengetahuan.
Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi memetik Jiwa Bakti berkata, pendidikan agama yang utuh melengkapkan peribadi generasi muda dengan nilai-nilai murni untuk menghadapi kehidupan yang tiada batas dan mencabar.
“Pendidikan agama tunjang dalam membentuk generasi muda yang tidak hanya berilmu, tetapi berakhlak tinggi. Ia penting untuk menghadapi cabaran kehidupan mendatang,” katanya berucap merasmikan Majlis Khatam Al-Quran Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian di Dewan Sri SEBATI, pada Jumaat.
Dalam masa yang sama, Ahmad Johnie memuji Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang Tian atas komitmen mendidik para pelajar yang merangkumi aspek akademik dan kerohanian atau sahsiah.
Usaha sekolah ini, menurutnya, wajar dijadikan contoh dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang dari segi ilmu duniawi dan ukhrawi.
Majlis khatam Al-Quran itu turut diraikan dengan kehadiran ibu bapa, guru-guru, dan komuniti sebagai tanda menghargai kejayaan pelajar yang telah khatam Al-Quran dengan bimbingan pihak sekolah.
Selain diperdengarkan dengan bacaan Al-Quran serta selawat, majlis dimeriahkan dengan persembahan nasyid oleh para pelajar, memaparkan penguasaan mereka dalam pendidikan agama.