SIBU, 06 MEI 2023 (SNN): Masjid Darul Firdaus, Sibu memerlukan pembinaan bangunan baharu bagi menampung jumlah jemaah yang makin meningkat serta menyediakan ruangan ibadat yang lebih selesa.
Timbalan Menteri Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Sarawak, Datuk Len Talif Salleh memberitahu, kapasiti masjid yang sedia ada sudah tidak mampu menampung penambahan bilangan jemaah.
“Oleh itu, kita telahpun mengenal pasti tapak baharu untuk membina sebuah masjid baharu dengan peruntukan sebanyak RM6 juta yang mampu menampung jumlah jemaah yang lebih banyak dalam satu-satu masa selain dilengkapi dengan kemudahan untuk aktiviti keagamaan.
“Usaha ini dilakukan bagi menjaga kebajikan umat Islam khususnya semasa melaksanakan solat berjemaah seperti hari raya yang pasti bilangan jemaah akan bertambah dari hari biasa,” katanya ketika menyempurnakan Majlis Penyerahan Surat Hak Milik Tapak Tanah Masjid Darul Firdaus pada Jumaat.
Len yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Rajang menambah, pembinaan masjid baharu yang lebih besar dan selesa itu nanti sudah pasti mampu meningkatkan lagi syiar Islam di kawasan itu serta menambah minat penduduk untuk mengimarahkan program-program masjid.
“Semoga masjid itu kelak apabila siap dibina akan dimanfaatkan dengan sebaik mungkin dengan pelbagai majlis ilmu selain menjadi medan penyebaran syariat Islam,” ujarnya.
Turut hadir sama Encik Andrew Lau (Setiusaha Sulit), wakil Timbalan Menteri Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri N54 Pelawan; Micheal Tiang, Penguasa Jabatan Tanah dan Survei Bahagian Sibu; Tuan Muazziz Othman dan Pegawai JAIS Sibu; Ustaz Azhar.