SEBUYAU, 26 NOVEMBER 2021 (SNN) : Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi berkesempatan meninjau perkembangan terkini projek pembinaan gelanggang gasing tradisional yang terletak di Kampung Sungai Ladong, Sebuyau yang telah diluluskan di bawah projek Transformasi Luar Bandar (RTP) sejak tiga bulan lalu.
Pada tinjauan berkenaan, Datuk Julaihi yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sebuyau menjelaskan, usaha membina gelanggang sukan tradisi “Permainan Pangkak Gasing” yang hampir siap berkenaan adalah bertujuan bagi menghidupkan semula sukan gasing yang kini mula pupus seiring dengan arus permodenan dalam kalangan penduduk.
“Kesungguhan yang ditunjukkan oleh penduduk diketuai oleh Ketua Kampung Encik Menterang bagi merealisasikan gelanggang gasing tradisional yang terletak di Kampung Hilir Sg Ladong membuktikan masyarakat Melayu di situ benar-benar ingin mengetengahkan semula sukan berkenaan agar generasi akan datang tidak lupa akan permainan pangkak gasing tersebut,” tegasnya.
Jelas Datuk Julaihi lagi, usaha seperti ini tidak hanya membuktikan kerajaan di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) komited untuk mengekalkan tradisi dan budaya masyarakat tetapi sukan tradisional seperti ini harus dipelihara kerana terdapat nilai tersendiri disamping dapat memupuk perpaduan serta semangat kesukanan dalam kalangan penduduk setempat.