PADAWAN, 22 OKTOBER 2021 (SNN) : Selepas melawat tapak projek jalan pesisir PA1 Kota Samarahan/Sadong Jaya di Tembirat Menteri Muda Infrastruktur dan Pembangunan Pelabuhan Sarawak Datuk Julaihi Narawi beserta rombongan kemudiannya berangkat melawat tapak projek naik taraf Jalan Padawan bagi melihat sendiri kemajuan terkini kerja-kerja pembinaan dan naik taraf jalan berkenaan.
Katanya, projek yang dibiayai penuh oleh Kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) dengan kos sebanyak RM34.9 juta dijangka siap sepenuhnya pada penghujung September 2022 jenis JKR R3 Standard dengan panjang keseluruhan jalan 14.2 Kilometer.
“Untuk makluman, walaupun projek ini mengalami sedikit kelewatan iaitu sebanyak 29.8 peratus (pencapaian sebenar 16.73%) berbanding yang telah dijadualkan iaitu 46.57 peratus, pihak kontraktor yang dilantik dikehendaki mengemukakan ‘catch up plan’ yang teliti, berkesan dan realistik dengan segera kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk dilaksanakan. Selain itu laporan mingguan juga mesti dihantar kepada pihak JKR apabila ‘catch up plan’ telah dipersetujui kelak,” tambah beliau.
Datuk Julaihi turut mengingatkan agar pihak kontraktor khususnya pemilik syarikat dan pengarah supaya sentiasa mengawasi kerja-kerja di tapak lapangan setiap masa bukannya diserahkan kepada sub-kontraktor dan wakil syarikat sahaja. Mereka harus bertanggungjawab penuh terhadap kerja kontrak yang diperolehi melalui pembidaan tender terbuka selain menyiapkan projek berkenaan dengan sempurna.
Turut hadir sama Menteri Muda Pertanian dan Pembangunan Tanah merangkap ADUN Tarat; Datuk Roland Sagah, Timbalan Residen Serian; Sslamat Jati Yanjah, Penolong Pengurus Wilayah JKR Wilayah Selatan; Dr. Lai Phui Hua, Jurutera JKR Bahagian Serian; Ir Oliver, Kontraktor Treca Bina Sdn Bhda, Consultant TW EngConsa Sdn Bhd dan pemimpin tempatan.